السلام عليكم ورحمة الله وبركـاته

SELAMAT DATANG KE BLOG PERKONGSIAN ILMU

25 Oktober 2010

SENI MUZIK ISLAMI – SEPINTAS LALU

Dalam masyarakat Arab, nyanyian bermula dalam kata-kata bersajak atau secara berirama sewaktu mengheret atau menunggang unta. Pada mulanya, irama-irama yang dibawa begitu mudah sehingga dapat dilagukan oleh sesiapa sahaja tanpa perlu mempelajarinya. Walau bagaimanapun, kemudiannya ia berkembang maju selepas menerima pengaruh luar terutama daripada masyarakat Arab dan Parsi dan Rom. Antara hasil perkembangan tersebut, irama menjadi lebih tinggi seninya dan majlis-majlis nyanyian mula diadakan terutama dalam perjalanan untuk menunaikan haji atau juga dalam ekspedisi peperangan. (Hanzalah)

Sehingga zaman pemerintahan Umawi, irama asli Arab dalam nyanyian berkenaan masih dikekalkan walau terdapat banyak pengaruh kaedah muzik Parsi dan Rom. Namun, berbagai-bagai usaha seni telah diadakan selepas itu sehingga telah melahirkan berbagai-bagai bentuk irama. Antara tokoh paling awal dalam bidang nyanyian dan muzik ialah Ahmad ibn Usamah al-Hamdani (m.83H/701M.) Beliau disifatkan sebagai salah seorang yang bertanggungjawab membawa pembaharuan daripada irama klasik jahiliah kepada bentuk baharu. Sa`ib Khathri (m.82H.) pula dianggap sebagai orang yang paling awal menggunakan irama Parsi dalam lagu-lagu Arab.

Penyanyi dan penggubah lagu paling masyhur pada zaman Umawi ialah Ibn Suraij (m. 108H.) Namun demikian, Ma`bad ibn Wahb (m.125H./743M.) yang bukan sahaja masyhur dengan kemerduan suara dan kemahiran menyanyi juga turut masyhur dengan kehebatan bermain gambus. (Kumpulan Dewangga Sakti)

Beliau juga didapati lebih cenderung kepada lagu-lagu berirama perlahan. Justeru, beliau lebih diminati oleh golongan muda sementara Ibn Suraij pula lebih diminati golongan berusia. Apabila negara Islam pada zaman Abbasiyyah mencapai kemajuan lebih pesat, industri muzik dan nyanyian turut mencapai kemajuan. Antara tokoh terawal yang berjaya membentuk teori dalam bidang ini termasuklah Yunus al-Katib (m. 147H./765M.) Pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid, nyanyian telah mencapai kemajuan yang memberansangkan. Irama dicipta dalam berbagai-bagai bentuk. Menurut riwayat, serangkap syair `Umar ibn Abi Rabi’ah, iaitu syair yang bermutu, dinyanyikan dalam 19 rentak.

Dalam bidang penulisan, tokoh yang paling awal menghasilkan karya dalam bidang muzik ialah al-Kindi (m 252H.) Beliau menulis sebuah buku agung dalam bidang ini yang berjudul al-Musiqi dan sebuah buku berjudul al-Madkhal ilal Muziqi selain sebuah risalah yang berjudul Tartib al-Naqham. Dalam semua karyanya ini, al-Kindi membicarakan semua aspek muzik. Menurutnya, muzik juga termasuk dalam disiplin ilmu sains, selain berhubung rapat dengan matematik dan memberikan kesan terhadap kesihatan.

AL-FARABI

Nama penuh beliau ialah Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Ulzagh al-Farabi yang lebih dikenali sebagai al-Farabi. Beliau dilahirkan di wilayah Wasij berhampiran dengan Farab yang berhampiran pula dengan Sungai Saihun di Turki pada tahun 260 H. (874M.) Sewaktu masih kecil, bapanya telah membawa beliau berpindah ke Baghdad. Di Baghdad, beliau berkesempatan mempelajari bahasa Arab di bawah pimpinan `Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sari ibn Sahl, pakar bahasa Arab dikenali dengan nama Ibn al-Siraj.

Selain bahasa Arab, al-Farabi juga terkenal dengan kemahirannya menguasai bahasa-bahasa yang lain. Di samping itu, beliau juga menguasai banyak cabang ilmu dan merupakan seorang yang pakar tentang seni muzik serta seorang pemuzik yang sangat handal. Al-Farabi juga memberi sumbangan dalam ilmu atau pengetahuan tentang notasi muzik atau nota lagu. Dikatakan bahawa beliau mampu memainkan alat muziknya dengan amat baik dan menyentuh jiwa. Dengan lagunya itu, beliau mampu membuat orang yang mendengar, menangis mahupun ketawa. Malah, beliau juga disebut sebagai orang yang mencipta beberapa alat muzik, termasuklah sejenis alat muzik yang dikenali sekarang ini sebagai gambus. Sistem nada Arabnya yang tulen masih lagi digunakan dalam muzik Arab kini. Al-Farabi menghasilkan sebuah buku yang membicarakan perihal muzik, berjudul Kitab al-Musiqa. Sebuah lagi karyanya yang berjudul Meanings of Intellect yang berkaitan dengan terapi muzik dan dalam bukunya ini beliau membicarakan kesan terapeutik muzik terhadap jiwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan